Siaran Akhbar dan Foto : European Union-Brunei Darussalam Partnership Facility
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Februari. - Kesatuan Eropah (EU) mengalu-alukan lebih ramai pelajar Negara Brunei Darussalam (NBD) yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di seluruh 27 Negara Anggota EU serta menggalakkan graduan muda tempatan untuk meneroka peluang biasiswa di Eropah, menurut Duta-duta Negara EU ke NBD dan Indonesia hari ini bersempena Ekspo Pendidikan Tinggi Ke-11, Tahun 2026 di Dewan BRIDEX, Jerudong.
Kenyataan tersebut dibuat semasa sesi perbincangan peringkat tinggi Duta-duta, bertajuk 'Studying in the EU : Scholarships, Research and Opportunities for Collaboration'.
Sesi panel tersebut dipengerusikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak EU ke Indonesia dan NBD, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi dan menampilkan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke NBD, Puan Yang Terutama Eve Lubin serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke NBD, Tuan Yang Terutama Weert Börner.
“Tiada masa depan tanpa pelaburan dalam pendidikan dan golongan muda. Penyertaan Kesatuan Eropah dalam Ekspo Pendidikan Tinggi Ke-11, 2026 mencerminkan komitmen kukuh kami untuk menyokong aspirasi belia NBD serta memperluas akses kepada pendidikan tinggi bertaraf dunia di seluruh Negara Anggota EU.
“Kami amat menghargai kerjasama dengan Kerajaan NBD serta bakat para pelajar NBD, dan kami menantikan kehadiran lebih ramai bakat muda ini ke Eropah bagi meningkatkan kemahiran serta memperkukuh hubungan bersama," ujar Tuan Yang Terutama Denis Chaibi akan menekankan kepentingan pelaburan dalam pendidikan.
Sementara, Puan Yang Terutama Eve Lubin pula mengatakan bahawa Eropah menawarkan pengalaman akademik yang pelbagai serta memperkayakan dari segi budaya.
“Apabila awda belajar di Eropah, awda akan mengenali ramai individu yang berbeza, pelbagai pengalaman serta ramai sahabat yang akan kekal seumur hidup. Di Perancis, terdapat kira-kira 1,500,000 pelajar dan daripada jumlah itu, sekitar 400,000 merupakan pelajar antarabangsa.
“Jadi, jika melanjutkan pengajian di Perancis, saya percaya perkara yang sama berlaku di kebanyakan negara Eropah. Awda bukan sahaja akan bertemu rakyat Perancis, malah pelbagai warganegara lain yang sama-sama bersemangat untuk belajar dan meneroka apa yang ditawarkan oleh Eropah," jelas PYT.
TYT Weert Börner menjelaskan bahawa negaranya amat berbesar hati untuk menerima lebih ramai pelajar dari NBD.
“Kami sangat berminat untuk mendekati Asia Tenggara dan menggalakkan lebih ramai pelajar, termasuk dari NBD dan negara jiran, untuk melanjutkan pengajian bersama kami. Satu lagi perkara yang ingin saya tekankan ialah di Jerman, rangkaian universiti dan universiti sains gunaan adalah sangat luas, baik dari segi bidang pengajian mahupun tawaran akademik, yang saya percaya merupakan tarikan utama kepada para pelajar," tambah TYT.
Ratusan pengunjung termasuk pelajar menghadiri hari pertama Ekspo Pendidikan Tinggi Ke-11 yang telah menjadi acara pendidikan unggul anjuran Kementerian Pendidikan.
Sekurang-kurangnya 69 institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan serta agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam Ekspo Pendidikan Tinggi Ke-11 2026. Ini termasuk institusi pengajian tinggi dari luar negara, antaranya yang berada di bawah program Biasiswa EU bagi pengajian pascasiswazah iaitu Erasmus Mundus Joint Masters (EMJM).
Program EMJM menawarkan biasiswa yang lumayan kepada pelajar di seluruh dunia yang ingin mengikuti pengajian peringkat siswazah melalui ijazah bersama atau pelbagai ijazah di satu atau beberapa negara EU.
Terdapat sekurang-kurangnya 221 kursus di bawah EMJM, merangkumi bidang sains, teknologi maklumat, politik, undang-undang, ekonomi, sains sosial dan budaya, seni, kesusasteraan serta hospitaliti.
Semasa ekspo pendidikan tersebut, salah seorang alumni EMJM dari Indonesia, Putri Ghassani Ramadhina, turut berkongsi pengalamannya mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi kitaran di Sweden dan Norway di bawah program biasiswa dua tahun itu.
Selain menganjurkan Sesi Perbincangan Duta-duta, EU juga membuka sebuah reruai maklumat yang menampilkan peranti Realiti Maya (VR) bagi memberi gambaran kepada para peserta tentang pengalaman belajar di EU. Reruai tersebut turut menyediakan maklumat mengenai mobiliti akademik dan peluang kerjasama penyelidikan. Penyertaan EU dalam Ekspo Pendidikan Tinggi Ke-11, Tahun 2026 dianjurkan oleh EU-Brunei Darussalam Partnership Facility.